Tuesday, July 20, 2010

HIKMAH SEBAB ATAU WASILAH

Allah Taala mempunyai kuasa yang luar biasa dan mutlak.
Kuasa (Kudrat) Allah tidak terbatas dan tidak dibataskan.
Allah yang bersifat Kudrat boleh melakukan apa sahaja
dan boleh mentiadakan apa sahaja. Dia boleh mengadakan atau
mentiadakan tanpa perantaraan, tanpa sebab atau tanpa menggunakan
sebarang wasilah. Jika Allah berkata, “Jadilah”, terus
jadi. Jika Allah berkata, “Binasalah”, terus binasa.

Begitulah hebatnya Allah yang bersifat Kudrat atau Maha
berkuasa. Allah boleh melakukan apa sahaja tanpa dibantu sebarang
perantaraan atau wasilah. Sebut sahaja “Kun,” - fayakun
(“Jadilah,” - terus jadi).

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya
apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia
berfirman kepada benda itu: “Jadilah!” Maka ia terus
terjadi.” (Yaasin: 82)

Walaupun begitu, kebanyakan perkara sama ada yang lahir
mahupun yang ghaib terjadi dengan bersebab, berperantara atau
menggunakan wasilah. Allah Taala lakukan itu semua dengan
kehendak-Nya. Firman Allah SWT dalam Al Quran:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah memberi kepadanya
kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya
jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.”
(Al Kahfi: 84)

Di antara contoh perkara ghaib yang menggunakan wasilah
adalah:
1. Untuk mencabut nyawa segala yang bernyawa, diperintahkan
malaikat Izrail melakukannya.
2. Untuk menulis kebaikan dan kejahatan, malaikat yang di
kiri kanan manusia merekodkannya atau merakamkannya
iaitu malaikat Raqib dan Atid.
3. Mengagih-agihkan rezeki kepada makhluk-Nya adalah
kerja malaikat Mikail.

Begitulah seterusnya.
Perkara-perkara yang lahir pula adalah seperti:
1. Mendapatkan ilmu menggunakan akal dan diusahakan
belajar.
2. Hendak mendapat rezeki atau kekayaan kenalah berusaha
dan bekerja serta menggunakan akal.
3. Hendakkan anak kenalah berkahwin.
4. Ingin maju dan membangun, kenalah berjuang dan berusaha.
5. Ingin sihat, jaga makan minum dan riadah selalu.

Begitulah seterusnya.Kejadian yang berlaku tadi sama ada yang ghaib mahupun yang lahir, Allah Taala lakukan dengan melalui wasilah atau
sebab. Walhal Allah boleh lakukan tanpa perantaraan malaikat
atau perantara akal dan usaha tadi. Allah Taala boleh lakukan
dengan hanya berkata, “Matilah!”, terus mati. “Pandailah!”, terus
pandai. “Kayalah!”, terus kaya. Begitulah seterusnya. Kiaskanlah
dengan yang lain-lain itu.

Mengapa Allah Taala dengan Kudrat-Nya atau dengan Kemampuan-
Nya tidak melakukan dengan cara berkata sahaja,
“Kun”, fayakun, “Jadilah”, terus jadi. Mengapa Allah menghendaki
sesuatu menggunakan wasilah atau sebab. Kalau manusia
itu mahu berfikir dan mengkaji, sebenarnya banyak hikmah dan
pengajarannya mengapa Allah SWT lakukan dengan wasilah
atau bersebab. Di antaranya:

1. Supaya manusia terasa kebesaran Zat Tuhan yang berkuasa.
Melalui wasilah dan sebab itu, bukan sahaja makhluk yang
bernyawa boleh menerima dan patuh kepada perintah-Nya
bahkan makhluk yang tidak bernyawa pun boleh menerima
perintah-Nya. Seperti angin dan awan, patuh kepada perintah
Allah untuk membawa dan menurunkan hujan.
2. Nampak kehebatan kerajaan Allah dan pentadbiran-Nya
bilamana petugas-petugas dan pegawai-pegawai-Nya terlalu
banyak. Ada yang ghaib dan ada yang nyata. Ada yang
bernyawa ada yang tidak. Ada yang berakal, ada yang tidak
berakal. Semuanya boleh patuh dengan perintah dan suruhan-
Nya. Membuat kerja Tuhan tanpa bangkang. Tidak
seperti di dalam kerajaan manusia.
3. Untuk menggalakkan manusia berjuang, berusaha dan
bekerja sebagai melahirkan wasilah dan sebab agar mereka
dapat membuat kemajuan dunia dan Akhirat demi kepentingan
mereka. Juga agar dapat dirasakan betapa tenaga
manusia itu dapat dimanfaatkan.
4. Supaya hamba-hamba-Nya, melalui sebab itu, dapat meluaskan
syariat Islam yang lebih global dan menyeluruh
melalui usaha dan perjuangan. Agar syariat yang menyeluruh
dan global di dalam kehidupan manusia menjadi
budaya hidup mereka. Maka dengan itu nampak kebesaran
syiar Tuhan itu serta bertambahnya luas kehidupan di dunia
ini.
5. Dengan melahirkan sebab dan wasilah seperti berusaha dan
berjuang maka hamba-hamba-Nya berhadapan dengan
berbagai kesusahan dan kepayahan maka di sinilah mereka
memperolehi pahala yang besar dari Allah SWT.
6. Dengan adanya usaha sebagai sebab atau wasilah untuk manusia
membangunkan kehidupan mereka dengan berlandaskan
syariat-Nya, sudah tentu mereka berhadapan
dengan berbagai-bagai ujian. Di sinilah mereka memperolehi
pula penghapusan dosa atau darjat dan pangkat di
dalam Syurga dengan rahmat Allah SWT.
7. Kerana Allah hendak menguji hamba-hamba-Nya apakah
hamba-hamba-Nya boleh taat dan patuh di atas perintah-
Nya agar mereka berjuang dan berusaha. Berjuang dan
berusaha itu yang dikatakan sebab dan wasilah. Melahirkan
sebab dan wasilah adalah diperintah.
8. Agar manusia itu tidak jadi beku dan jumud. Apabila diperintahkan
berusaha dan berjuang sebagai sebab dan wasilah,
manusia akan belajar. Mereka akan mencari pengalaman,
berfikir, mencuba dan mengkaji. Dengan itu manusia akan
menjadi orang yang mempunyai ilmu dan pengalaman serta
bertamadun. Ianya sangat memberi faedah kepada manusia
itu sendiri.
9. Di dalam berusaha dan berjuang sudah tentu manusia itu
akan berhadapan dengan cabaran. Akan menempuh kesusahan
dan kepayahan. Letih, lesu dan adakalanya menerima
kegagalan. Di sinilah manusia itu akan terasa lemah dan
terasa tiada kuasa. Lahirlah rasa kehambaan yang inginkan
bantuan dan mengharapkan pertolongan dari Allah yang
Maha Kuasa lagi Maha Pemurah. Dengan itu sifat sombong
dan bangga diri akan hilang.
10. Apabila manusia berjuang, berusaha, berikhtiar sebagai
wasilah, mereka akan mewujudkan keperluan-keperluan
dan kepentingan hidup mereka di dalam berbagai-bagai
aspek dan bidang. Oleh kerana keperluan-keperluan manusia
itu amat banyak maka lahirlah berbagai-bagai kemajuan
di dalam berbagai-bagai aspek. Ini merupakan nikmat dan
rahmat daripada Allah SWT. Di sini manusia itu akan terasa
pemberian dan anugerah dari Allah. Maka mereka akan bersyukur
dan mereka dapat pula pahala syukur.
11. Dengan sebab dan wasilah itu, Allah Taala hendak menguji
manusia. Apakah nanti manusia itu terpesona dan terpengaruh
dengan nikmat-nikmat yang dilahirkan daripada sebabsebab
atau wasilah yang mereka lakukan atau mereka bertambah
yakin dan terasa kebesaran Allah serta pemberian-
Nya sehingga mereka boleh bersyukur kepada Allah SWT.
Setelah kita mengkaji dan menganalisa hikmah mengapa
Allah melakukan sesuatu kewujudan itu dengan perantaraan
sebab atau wasilah, rupa-rupanya ia mengandungi hikmah dan
pengajaran yang amat banyak. Sebahagiannya seperti apa yang
telah disebutkan sebelum ini.

Jika seseorang itu dapat memahami dan menghayati bahawa
sebab-sebab dan wasilah-wasilah itu mengandungi hikmah yang
besar, ia akan membentuk sikap dan peribadinya. Cuma tidak
ramai orang yang boleh berbuat demikian dan menghayatinya.
Bahkan kebanyakan orang dengan sebab-sebab dan wasilahwasilah
itu mereka jadi terhijab dengan Tuhan. Hingga dengan
itu tidak nampak lagi kebesaran, kuasa (Kudrat) dan nikmat
daripada Allah SWT. Yang mereka nampak ialah usaha mereka,
kemampuan mereka, akal dan kepandaian mereka, perjuangan
mereka, kegigihan mereka dan kesungguhan mereka.
Justeru itu timbul rasa sombong, angkuh, keakuan, terasa diri
hebat, kagum dengan diri sendiri dan terasa kelebihan diri.
Walaupun tidak mengaku Tuhan tetapi mereka melihatkan sikap
seolah-olah menpertuhankan diri. Maka jatuhlah kepada syirik
khafi kerana mereka merasakan seolah-olah sebab dan wasilah
itu yang memberi bekas.

Sebab atau wasilah itu ada beberapa kategori:
1. Sebab atau wasilah yang ghaib. Contohnya seperti malaikat
menurunkan wahyu atau ilham. Malaikatul maut mengambil
nyawa. Raqib dan Atid yang berada di sebelah kanan
kiri manusia, menulis kebaikan dan kejahatan manusia.
Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Mungkar dan Nakir
yang menyoal manusia di dalam kubur dan lain-lain lagi.
2. Yang bersifat maknawi. Contohnya seperti keberadaan
seseorang yang soleh atau bertaqwa di suatu tempat, dengan
berkatnya Allah selamatkan tempat itu atau kampung itu
daripada bala bencana atau orang itu sendiri dan orang
kampung dimurahkan rezeki.
3. Sebab-sebab atau wasilah yang zahir, nyata atau hissi. Contohnya
seperti berusaha berniaga, berusaha bertani, rajin
belajar, berjuang dan lain-lain.
4. Yang bersifat rohaniah. Contohnya seperti doa seseorang,
rintihan hati seseorang dan baik sangka seseorang dengan
Allah Taala. Amalan-amalan yang tertentu yang Allah
berkati menjadi sebab untuk seseorang itu selamat. Ketaqwaan
seseorang menjadi sebab mendapat rezeki, terlepas
daripada kesusahan atau terhindar daripada bala bencana